Tuesday, October 26, 2010

warkah buat teman

teman,
andai kata mengguris rasa, biarlah aku diam dari berbicara..hati manusia memang sukar diduga, baik paras rupa tapi hati belum tentu bercahaya.  aku bukan mahu menunjuk pandai, cuma ingin bermadah menghurai rasa dan mencari makna dalam kata-kata...
teman,
kalau dulu bicaraku menggugat kedamaianmu, aku ingin memohon kata maaf walau hati tak mungkin menerimanya dengan begitu mudah, namun aku harus selalu ingat pesan orang tua bahawa memaafkan itu lebih baik daripada menyimpan dendam..dan api dendam itu sesungguhnya akan membakar diri sendiri..
teman,
andai nanti tiada lagi bicaraku di sini, bukan kerana aku membawa hati yang rajuk, tapi aku ingin mencari kebenaran dalam hatiku..aku akan sentiasa mengalah kalau itu saja cara untuk membuat kalian bermegah..aku tak akan menggugat kedudukan kalian di hati mereka kerana aku lebih kenal siapa diriku berbanding kalian...
teman,
warkah ini bukan untuk dijaja, dicerita sini dan sana, tapi aku mahu melentur ketegangan jiwa, melebur amarah yang dirasa dan melangsai hutang pada panas yang membara..aku sedar kita hanya insan biasa yang amat lemah dalam dunia yang penuh tipu dan daya..namun, selagi masih berkudrat, selagi nadi masih berdenyut..aku akan tetap di sini walaupun hanya memerhati dan mencari erti agar aku akan selalu sedar diri..
teman,
pada angin malam yang mendamaikan, ingin sekali aku menyampaikan pesan...


...usah dipujuk hati yang rajuk
...usah ditanya sebab mengapa
...usah dibalas dengan hati yang belas
...usah dijolok sarang tebuan
...usah diteka apa jawapan
...usah disapa walau berdepan


kerana akan kupujuk jiwa yang lara
akan kupulih hati yang sakit
akan kuhurai makna dikata
kerana aku hanya manusia biasa!

No comments:

Post a Comment