Saturday, October 27, 2012

Mantapkan tatabahasa anda (sambungan)


1.               Yang manakah yang betul,”justeru atau “justeru itu” ?

Jawapan          :           Sebenarnya perkataan justerudengan maksud oleh itu itu salah penggunaannya.Makna justeru ialah malahan atau bahkan.Misalnya: Saya tidak pernah mengkhianati dia,justeru saya menolong dia.

2.               Ayat yang manakah yang betul ?

1.     Buku itu bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak,tetapi juga untuk orang dewasa.
2.     Buku itu sesuai bukan sahaja untuk kanak-kanak, tetapi juga untuk orang dewasa.

Jawapan          :           Dalam hal ini, kedudukan kata nafi yang berbeza itu bertujuan untuk memberikan penekanan kepada unsur yang berbeza dalam ayat. Dalam ayat (1 ), unsur yang ditekankan ialah kesesuaian buku itu untuk kanak-kanak, manakala dalam ayat ( 2 ), yang diberi penekanan ialah perihal sesuainya buku itu.
Oleh hal demikian,kedua-dua ayat betul.Namun, lebih tepat lagi jika kata penegas juga diletakkan pada akhir ayat seperti yang berikut :

1(a).           Buku itu bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak, tetapi untuk orang dewasa juga.
2(a).           Buku itu sesuai bukan sahaja untuk kanak-kanak,tetapi untuk orang dewasa juga.

3.               Bolehkah jelaskan penggunaan kata nafi bukan dan kata
nafi tidak ?

Jawapan          :           Kata nafi  bukan boleh menjadi unsur
nafi bagi frasa nama dan frasa sendi nama.
Contohnya :
1.     Projek itu bukan usaha saya.
2.     Kereta api itu bukan dari Ipoh.

Kata nafi tidak pula ialah unsur nafi bagi frasa kerja dan frasa adjektif
Contohnya :
3.     Bapanya tidak pergi ke sawah hari ini.
4.     Kenyataannya itu tidak benar.

4.               Ejaan yang manakah yang tepat istirehat atau istirahat ?

Jawapan          :           Ejaan yang tepat ialah istirahat.Kata tersebut ialah kata serapan daripada bahasa Arab.Istirahat bermaksud rehat.Manakala beristirahat bermaksud berehat.


5.               Tolong jelaskan tentang ejaan bandaraya dan bandar raya ?

Jawapan          :           Dalam bahasa Melayu, kata bandar dan raya boleh berdiri sendiri dan masing-masing mempunyai makna. Jadi, ejaan yang tepat ialah bandar raya.
Namun, bagi kata nama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ialah contoh penggunaan ejaan yang salah tetapi dikecualikan kerana telah terdaftar secara sah.Kesalahan sebegini seharusnya dihindarkan kerana akan menimbulkan kekeliruan.

6.               Apakah perbezaan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan ?

Jawapan          :           Bahasa rasmi ialah bahasa yang digunakan dalam urusan rasmi kerajaan dan pentadbiran negara. Manakala bahasa kebangsaan ialah bahasa yang utama bagi sesebuah negara yang berdaulat.

7.               Yana manakah yang betul agung atau agong ?

Jawapan          :           Dalam bahasa Melayu, mengikut hukum keselarasan vokal, vokal a akan berpasangan dengan vokal u(a-u). Oleh itu, kata ini sepatutnya dieja ‘agung’, contohnya mesyuarat agung,seniman agung,pemimpin agung, tetapi ada kekecualiaan hanya untuk Yang di-Pertuan Agong yang menggunakan vokal ‘o’ untuk kata agong.




8.               Apakah perbezaan antara memperhamba’ dan memperhambakan’ ?

Jawapan          :           memperhamba’ bermaksud menjadikan
orang lain sebagai hamba.
Contohnya:
Encik Sabri memperhamba Mat Timah di rumahnya.

memperhambakan’ pula bermaksud menjadikan diri sebagai hamba kepada seseorang. Contohnya: Hang Tuah memperhambakan dirinya kepada raja.

9.               Apakah fungsi bentuk penggandaan dalam bahasa Melayu ?

Jawapan          :           Dalam bahasa Melayu penggandaan
                                      mempunyai beberapa makna.
Contohnya:                                
( I )            perbuatan yang berulang-ulang:
                  tergelak-gelak
                  melambai-lambai
                  tersenyum-senyum
                  tersengih-sengih

( ii )           perbuatan yang berpanjangan:
                  berangan-angan
                  mengata-ngata
                  tergila-gila

( iii )          perbuatan yang bersungguh-sungguh:
                  bercerai-berai
                  bertungkus-lumus
                  memporak-peranda

( iv )          perbuatan yang saling berbalasan:
                  bersalam-salaman
                  berpeluk-pelukan
                  berkasih-kasihan

10.            Mengapakah ayat di bawah dikatakan salah ?

Pemain-pemain bola sepak itu berkejaran antara satu sama lain untuk mendapatkan bola.

Jawapan          :           Ayat itu dikatakan salah kerana kata kerja yang digunakan dalam ayat tersebut perlu ditulis seperti yang
berikut :

Pemain-pemain bola sepak itu berkejar-kejaran antara satu sama lain untuk mendapatkan bola.

Atau,

Pemain-pemain bola sepak itu saling berkejaran antara satu sama lain untuk mendapatkan bola.

Kita perlu menulis ayat seperti di atas kerana berkejar-kejaran membawa maksud saling berbalasan.Oleh itu, apabila kita menggunakan perkataan tersebut perlu menulis ayat seperti dinyatakan itu.

.....bersambung

No comments:

Post a Comment